** Sejarah pembangunan Windows XP

Sejarah pembangunan Windows XP bermula sejak daripada proses pembangunan Windows 2000 yang asalnya dibina bagi menggantikan Windows NT 4.0 dan Windows 98, Walau baganmanapun, rancangan tersebut telah diubah apabila Microsoft melancarkan Windows 98 SE. Pada tahun 1999, Microsoft mula membangunkan Windows Neptune sebagai versi pengguna rumah bagi Windows 2000. Walau bagaimanapun, projek Neptune tersebut dibatalkan dan digantikan dengan Windows Me, iaitu sistem pengendalian keluarga Windows 9x yang terakhir. Projek Neptune tersebut kemudiannya digantikan dengan projek Whistler yang seterusnya membentuk Windows XP. Windows XP dilancarkan pada 25 Oktober 2001, dan sejak daripada itu 2 pek servis telah dilancarkan. Pek servis ketiga (Windows XP SP3) masih dalam peringkat pembangunan.

** Edisi Windows XP

Secara umumnya, Windows XP secara lazimnya terdiri daripada 2 versi utama, iaitu:-

  • Windows XP Home Edition – versi yang disasarkan kepada pengguna rumah.
  • Windows XP Professional – versi yang disasarkan untuk kegunaan perniagaan dan pengguna komputer berkuasa tinggi. Windows XP Professional mengandungi ciri-ciri istimewa yang tidak terdapat pada versi Home Edition.

Selain itu, terdapat edisi khas Windows XP yang dibina untuk beberapa jenis komputer khusus, iaitu:-

  • Windows XP 64-bit Edition – untuk komputer stesen kerja yang menggunakan pemproses Intel Itanium.
  • Windows XP Professional x64 Edition – untuk komputer dengan pemproses 64-bit (jangan terkeliru dengan edisi 64-bit di atas, ia hanya untuk komputer stesen kerja dengan pemproses Intel Itanium sahaja).
  • Windows XP Media Center Edition – untuk komputer pusat media. Pusat media adalah komputer khas yang turut dilengkapi talaan siaran televisyen dan radio serta pelbagai ciri-ciri lain. Edisi ini tidak dijual berasingan tetapi disertakan dengan komputer pusat media tersebut.
  • Windows XP Tablet PC Edition – untuk komputer riba khas yang dikenali sebagai PC tablet. Tidak seperti komputer riba biasa, PC tablet menggunakan sistem pengecaman tulisan pengguna dan pengguna “menulis” menggunakan pen stylus pada skrin yang sensitif dengan pen tersebut. Seperti pusat media, edisi PC tablet tidak dijual berasingan dan disertakan dengan pembelian PC tablet tersebut.
  • Windows XP Embedded – sistem pengendalian terbenam bagi peralatan elektronik pengguna khusus seperti mesin ATM, peranti perubatan, permainan video arked, terminal jualan serta komponen VoIP.
  • Windows Fundamentals for Legacy PCs – disasarkan kepada sebilangan kecil pengguna khusus Microsoft Software Assurance yang ingin menggunakan Windows XP tetapi hanya mampu memiliki komputer lama (seawal zaman pemproses Pentium).

** Windows XP Starter Edition

Windows XP Starter Edition adalah versi berkos rendah yang diedarkan di beberapa buah negara termasuklah Malaysia. Di Malaysia, Windows XP Starter Edition menggunakan Bahasa Melayu bertujuan untuk membantu meningkatkan kadar celik IT di kalangan pengguna serta bagi memerangi cetak rompak. Sungguhpun demikian, versi tersebut mempunyai beberapa limitasi, iaitu Starter Edition hanya boleh digunakan pada komputer berkuasa rendah, membenarkan sehingga hanya 3 perisian dibuka pada satu-satu masa, serta terdapat beberapa ciri yang dimansuhkan ataupun dinyahupayakan secara lalai.

** Windows XP edisi N

Pada Mac 2004, Kesatuan Eropah telah menyaman Microsoft sejumlah €497 juta (AS$603 juta) atas dakwaan memonopoli perisian pemain media menerusi penyertaan Windows Media Player di dalam sistem pengendalian Windows. Selain itu, Microsoft diperintahkan untuk menghasilkan versi Windows XP tanpa Windows Media Player, dikenali sebagai edisi N (tanpa Windows Media Player). Walau bagaimanapun, edisi N tersebut mendapat sambutan dingin di kalangan pengguna serta pengeluar komputer kerana harga bagi edisi N adalah sama dengan edisi biasa dengan Windows Media Player, menyebabkan pengguna dan pengeluar berasa rugi.

** Ciri-ciri terkini dan diperbaharui dari Windows XP

Windows XP memperkenalkan beberapa ciri terkini, antaranya:-

  • Proses memulakan Windows dan hibrenasi yang lebih pantas.
  • Keupayaan untuk menyisihkan pemacu peranti yang lebih baru dan kembali ke pemacu peranti lama sekiranya pemacu peranti yang baru menimbulkan masalah. Ciri ini dikenali sebagai pengembalian pemacu peranti (driver rollback).
  • Antaramuka yang lebih mesra pengguna serta rangka kerja yang membolehkan syarikat perisian mereka tema paparan.
  • Penukaran pengguna pantas, yang membolehkan pengguna menukar ke akaun pengguna lain tanpa menutup program di dalam akaun pengguna yang masih terbuka.
  • Mekanisme penjanaan fon ClearType bagi membolehkan teks pada monitor LCD dapat dibaca dengan jelas.
  • Fungsi Remote Desktop, yang membolehkan pengguna mengendalikan komputernya dari komputer lain yang turut menggunakan Windows XP melalui rangkaian komputer ataupun internet.
  • Menyokong modem DSL serta rangkaian tanpa wayar.

Antaramuka

Antaramuka Windows XP adalah berorientasikan tugasan. Menu Start dan enjin pencari direka semula dan pelbagai kesan visual turut ditambah, termasuklah:-

  • Petak segiempat tepat dengan warna biru lutcahaya di dalam Explorer
  • Grafik seakan-akan “watermark” pada ikon folder, menunjukkan jenis fail yang tersimpan di dalamnya
  • Bayang-bayang pada label ikon di dalam desktop
  • Bar tepi berasaskan tugasan pada tetingkap Explorer
  • Keupayaan untuk menghimpunkan banyak butang tetingkap bagi program yang sama pada satu butang sahaja
  • Keupayaan untuk mengunci bar tugasan serta bar alatan lain bagi mengelakkan perubahan yang tidak disengajakan
  • Paparan program yang baru dipasang pada menu Start
  • Bayang-bayang di bawah menu (Windows 2000 ada bayang-bayang pada kursor tetikus, tetapi bukan pada menu)